“Hari hitam buat Parlimen Malaysia”

KUALA LUMPUR 19 – Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin yang diarah keluar Dewan Rakyat akibat mahu mempertahankan maruahnya menyifatkan sidang Dewan Rakyat hari ini sebagai ‘satu hari hitam buat Parlimen Malaysia’.

“Saya mohon rakyat Malaysia hari ini tengok, kalau kami dalam Dewan sendiri dituduh macam-macam di depan begitu tanpa sebarang bukti dan diminta supaya kenyataan itu ditarik balik pun tak boleh.

“Kami pun tidak mendapat keadilan, bagaimana untuk rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas keluar Dewan Rakyat.

Pengusiran Radzi bermula apabila beliau enggan mendengar arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, supaya duduk dan memberi peluang kepada Anwar Ibrahim untuk meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.

Kekecohan timbul apabila Anwar secara tiba-tiba menuduh Radzi melakukan yang tidak baik ketika Menteri Kewangan itu memberi penjelasan mengenai keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar ketika menjelaskan isu DNAA semasa penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan

berkata “ You boleh gelak Putrajaya kerana you buat perkara itu, masa pentadbiran you buat perkara itu, yes,” .

Kenyataan itu membuatkan Radzi berang dan meminta Anwar menarik balik sangkaan atau  tuduhan jahat itu.

Radzi berkata adalah tidak munasabah untuk Anwar menuduhnya ketika memberi penjelasan mengenai keputusan DNAA Timbalan Perdana Menteri, dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Bekas Menteri Pendidikan itu turut mempersoalkan permintaannya supaya Anwar menarik balik kenyataan berunsur tuduhan terhadapnya, yang seolah-olah diabaikan Johari.

“Permintaan saya tak susah. Cuma minta Ahli Parlimen Tambun menarik balik kenyataan itu sahaja kerana melibatkan tuduhan kepada saya.

“Ini perkara yang sangat ‘straight forward’. Itu sahaja. Kenapa nak pertahankan benda yang tidak betul? Kenapa nak pusing-pusing jawapan,” katanya.

Susulan arahan untuk Radzi keluar, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) lain turut sama meninggalkan Dewan Rakyat sebagai tanda protes.

Bagaimanapun, hanya Khlir Nor (PN-Ketereh) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) kekal berada dalam Dewan.

Sementara itu melalui Facebooknya, Radzi berkata, beliau pantang dengan orang yang tidak bercakap benar.

“Saya juga akan sentiasa pertahankan maruah dan integriti diri. Saya bangun menuntut keadilan dan apabila YAB Tambun sesuka hati membuat tuduhan. Kerana menegakkan kebenaran, saya diminta keluar dewan!,” katanya .

Related posts

Leave a Comment