KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin diarah keluar Dewan selepas kekecohan ketika sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul selepas Radzi enggan mendengar arahan supaya duduk dan memberi peluang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.
Rentetan arahan itu, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit, bertindak keluar dari Dewan Rakyat.
Sementara itu, pada sidang media Ahli Parlimen pembangkang, Hamzah berkata, tindakan keluar Dewan Rakyat adalah bagi menunjukkan protes kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Katanya, keputusan dibuat Johari itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada Ahli Parlimen Putrajaya.
“Dalam perbahasan tadi, Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun ada menyebutkan bahawa beliau menuduh Putrajaya melakukan sesuatu yang tidak baik. Maka YB Putrajaya bangun dan minta Speaker mohon YAB tarik balik kenyataan beliau
Apabila saya minta dia tarik balik, dia pusing kenyataan dengan menyatakan Putrajaya itu bukan bermaksud Ahli Parlimen tetapi bermaksud pentadbiran Putrajaya. Ini menunjukkan sesuatu pembohongan berlaku dalam Dewan.
“Saya bangun dan kata kalau keputusan yang dibuat Yang Dipertua adalah sesuatu yang tidak adil kepada salah seorang Ahli Parlimen pembangkang maka tidak guna kami di sini duduk kerana mengakui pembohongan itu benar,” katanya.
Hamzah berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat dibuat untuk membuktikan apa yang dilakukan Johari adalah tidak adil kepada Ahli Parlimen.
“Sepatutnya Yang Dipertua melakukan sesuatu dan bukannya menjadi seorang peguam,” katanya.
