Blake sudah tiada, mati akibat barah

PUTRAJAYA 19 Sept. –  Blake, anjing pengesan yang banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mati petang semalam selepas dikesan menghidapi barah limfoma.

Terdahulu, Blake yang bertugas di Unit Anjing Pengesan (K9) terpaksa ditidurkan pukul 4.38 petang semalam, selepas didiagnosis menghidapi barah Limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu sebelum dimasukkan sekali lagi ke Wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) 14 September lalu.

Untuk rekod, Blake terbabit dalam pelbagai misi Mencari dan Menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali; mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; Operasi SAR kepala air di Titi Hayun, Yang, Kedah dan SAR mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak, Pahang.

Anjing pengesan dari disiplin Cadaver itu turut sempat mengikuti raptai Sambutan Hari Kebangsaan ke-66, Ogos lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT)! Blake dimasukkan ke Wad Veterinar selepas didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing berkenaan.

Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang diberikan oleh pihak veterinar malah barah limfoma yang dikesan pada anjing itu juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar.

Hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr Nur Alimah Rahman, pihak jabatan bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Blake kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak serta tiada harapan untuk dipulihkan.

Anjing Pengesan Blake adalah anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017.

“Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” kata KPKT.

Related posts

Leave a Comment