PN menang 5-1 hanya angan-angan

DUNGUN 28 Julai – Ramalan Perikatan Nasional (PN) mampu meraih kemenangan 5-1 dalam pilihan raya negeri (PRN) hanya sekadar ‘angan-angan’.

Itu reaksi balas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai peluang PN pada PRN 12 Ogos ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebaliknya yakin gabungan di antara PH dan Barisan Nasional (BN) mampu mencipta kejutan.

“Dia rasa mereka (PN) akan menang 5-1. Itu jangkaan dia. Masa dia bertanding di Langkawi dulu (Pilihan Raya Umum Ke-15), dia kata boleh menang besar.

“Tapi bila keluar keputusan, dia hilang deposit. Sekarang dia kata mereka akan menang 5-1. Belajarlah dari pengalaman, bila dia kata menang besar, dia hilang deposit.

Insya-Allah, kejutan akan berlaku dalam PRN kali ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,  Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dr Ahmad Said.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri ketika berucap pada Perhimpunan Hari Perniagaan Sosial Ke-13 di Kedah hari ini dilaporkan berkata, PN mempunyai potensi baik untuk mengekalkan kuasa di Kelantan, Terengganu, Kedah dan merampas Selangor serta Negeri Sembilan, namun tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

Katanya, ini berdasarkan perubahan sentimen yang diperlihat daripada kalangan pengundi yang lanjut usia, khususnya orang Melayu di luar bandar.

Related posts

Leave a Comment