KUALA LUMPUR 28 Julai – Inisiatif Muda Hustle bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berjaya mengumpul sejumlah RM854,350.82 membabitkan seramai 4,396 individu, kata Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.
Purata sumbangan adalah sebanyak RM194.35 setiap orang dan ia bermula serendah RM5 dengan sasaran pengumpulan keseluruhan bagi MUDA Hustle adalah sebanyak RM1.5 juta, iaitu bagi kos anggaran kempen PRN.
Syed Saddiq, melancarkan inisiatif Muda Hustle pada 4 Julai lalu di mana ia dilakukan 100 peratus secara maya menerusi platform media sosial, bermula dengan penjualan otak-otak Muar secara dalam talian diikuti oleh pimpinan yang lain.
Syed Saddiq juga memaklumkan dalam usaha meningkatkan kutipan dana, lelongan seni akan diadakan mulai hari ini hingga 30 Julai ini pada 6 hingga 7 petang.
Katanya, karya yang akan dilelong membabitkan hasil tangan beberapa seniman tempatan iaitu dua lukisan dari Yusof Ghani dan satu lukisan oleh Tan Choon Ghee.
“Selain itu, tiga gambar (fotografi) oleh jurugambar Perancis, En Ould Amer Tarik turut dilelong dalam acara itu. Semua hasil karya akan dipamerkan di laman sesawang ,” katanya.
Muda Hustle menawarkan tiga cara untuk menyumbang kepada usaha pengumpulan dana mereka membabitkan pembelian terus melalui aktiviti di bawah inisiatif terbabit, sumbangan melalui portal www.undimuda.my dan sumbangan terus ke akaun bank rasmi Muda.
Katanya, selain lelongan seni dan penjualan otak-otak Muar, aktiviti lain di bawah Muda Hustle antaranya jualan barangan ‘Yang Bersuara’; futsal dan penjualan buku.
