SEREMBAN 28 Julai – Menjelang hari penamaan calon esok, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memaklumkan pempengaruh media sosial, Muhammad Noriswan Ishak tidak akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah pada 12 Ogos ini.
Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Muda, Muhammad Noriswan mengambil keputusan menarik diri atas sebab peribadi.
“Selepas berbincang, beliau mengambil keputusan untuk menarik diri atas sebab-sebab peribadi.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada saudara Iswan atas kerjasama yang diberikan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan penarikan diri itu, hanya 19 calon iaitu 10 wanita dan sembilan lelaki akan bertanding mewakili Muda pada PRN ini meliputi 14 di Selangor, tiga di Pulau Pinang dan satu masing-masing di Negeri Sembilan dan Terengganu.
