SHAH ALAM 19 Mei – Pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) diminta memangkah calon Kerajaan Perpaduan termasuk dari DAP demi mengukuhkan kerajaan sekarang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata apabila ahli UMNO sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.
“Disiplin parti itu memastikan arahan parti dituruti… memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya ialah bukan (undi) atas nama parti atau DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan ini titah Yang di-Pertuan Agong apabila Parlimen negara tergantung, jadi kita akur pada titah, setia pada titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika diminta mengulas sejauh mana kesediaan pengundi UMNO mengundi DAP dalam PRN tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Kabel XLPE Federal Power Sdn Bhd, Seksyen 15, di sini,
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, pengundi UMNO perlu meninggalkan sentimen yang ada pada diri masing-masing kerana dinamika politik Malaysia begitu hebat.
Kita melihat apa yang sudah berlaku itu, sudah berlaku… sekarang kita inginkan kestabilan sebagaimana saya sebut tadi.
“Calon yang bertanding bukan atas nama DAP atau PH saja tetapi secara keseluruhannya atas nama Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau juga menyokong sekiranya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang akan berdepan PRN diawalkan supaya politik di negeri berkenaan lebih stabil.
“Sebanyak 19 parti yang berada di Dewan Merdeka PTWC itu adalah lambang kestabilan, tidak pernah kita memiliki satu kerajaan yang begitu banyak parti dalamnya. Semua sekali seia sekata pakai baju putih, simbol kebersihan dan kesucian apa yang ingin kita laksanakan.
“Kestabilan ini untuk rakyat bukan untuk peribadi sesiapa kerana apa stabil, pelabur masuk. Rakyat dapat kerja, negara maju dan pulangannya kembali pada rakyat. Itu sebagai contoh,” katanya.
