Kalimah Allah : Putra hantar nota watikah

KUALA LUMPUR 19 Mei –  Parti Putra menyerahkan nota watikah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon campur tangan baginda berhubung kalimah Allah.

Tindakan itu dibuat selepas Putra kecewa dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung keputusan menarik balik rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab dalam penerbitan agama Kristian.

Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, kenyataan pemimpim kerajaan ini sangat dangkal dan bercelaru serta tidak bertepatan dengan keputusan mahkamah sebelum ini.

“Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada penganut agama lain, pasti mereka tidak senang apabila isu akidah, agama dan kefahaman mereka diganggu gugat,” katanya kepada media petang semalam.

Nasrul Ali Hasan sebelum itu bersama Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaludin dan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Selangor, Datuk Asmawar Samad hadir menyerahkan nota watikah kepada wakil Istana Negara.

Nota watikah itu menyatakan ketidakpuasan hati dengan keputusan Kabinet pada Rabu lalu, selain kebimbangan terhadap penyebaran naskah agama Kristian yang akan tersebar meluas dalam negara ini.

“Pendirian kami kekal untuk menjaga kepentingan Islam dan keharmonian awam, kita tetap tidak berganjak dan berpendirian rayuan proses ini perlu diteruskan.

“Dalam pada itu, kita lihat keputusan Kabinet ini sebagai keputusan politik, ia sekadar untuk melengahkan masa bagi mengemukakan cadangan baharu, yang mana kita tahu, entah bila akan dimuktamadkan,” ujarnya.

Putra katanya, juga bimbang Bible dalam bahasa Melayu akan diimport dari Indonesia dan kembali tersebar seperti pernah berlaku pada 2004 yang boleh mengelirukan anak muda.

Kataya, mereka yang baharu dalam proses mengenali diri dan tuhan seterusnya akan menganggap agama Islam dan Kristian itu adalah sama kerana al-Quran dan Bible menyebut nama Allah.

Justeru, beliau juga menegaskan, isu ini bukan modal politik untuk melagakan Melayu dan Islam, sebaliknya ia berkaitan akidah.

Related posts

Leave a Comment