Lima penjuru di DUN Tioman

ROMPIN 24 Nov. – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan seorang Bebas.

Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN Mohd Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Pegawai Pengurus pilihan raya Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.50 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, ditutup pada 10 pagi.

“Kita menerima kertas pencalonan baharu daripada seorang calon pada hari ini, manakala calon yang telah disahkan pencalonan pada 5 November tidak perlu menghantar kertas pencalonan mereka hari ini.

Setelah selesai kertas-kertas pencalonan disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak kertas pencalonannya,” katanya.

Pada hari ini, hanya Nor Idayu hadir bagi mengemukakan kertas pencalonan manakala calon lain hadir untuk proses undian bagi menentukan susunan nama pada kertas undi.

Bagaimanapun, calon PH hanya diwakili wakilnya, Manan Mohamad dalam proses itu kerana difahamkan beliau berada di ibu negara.

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada pilihan raya umum ke-14, Mohd Johari menang dengan majoriti 1,280 undi menewaskan Md Yunus yang memperoleh 5,382 undi, calon PKR Sazili Mohd Nor (3,029 undi) manakala calon Bebas Imam Zul hilang deposit selepas hanya mendapat 58 undi.

Related posts

Leave a Comment