KUALA LUMPUR 22 April – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Dewan Santapan Utama, Istana Negara kira-kira pukul 10.10 pagi diiringi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Antara menteri yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Selain itu, antara dif kenamaan yang hadir adalah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.
Majlis itu turut disertai perwakilan asing, antaranya dari Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Turkiye, dan Brunei Darussalam.
Kira-kira 2,000 hadirin yang terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat serta komuniti Orang Asli turut memeriahkan majlis itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama hadirin.
Foto : Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama Paduka-paduka Anakanda dan Cucunda semasa Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara (Fb Istana Negara)
