26 kerusi dalam ‘genggaman’ PH-BN

BAGAN 1 Ogos –  Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) sudah ‘menguasai’ 26 daripada 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang seterusnya dijangka mengekalkan negeri itu untuk penggal keempat.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik, berkata ia berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai dari pihak ketiga dan maklum balas awam terhadap calon PH-BN.

Beliau berkata, penguasaan itu membabitkan kerusi DUN Bayan Lepas hingga Tanjung Bungah di bahagian Pulau dan dari Bukit Tambun hingga Sungai Puyu di bahagian Seberang Perai.

“Ingin saya maklumkan 26 daripada 34 kerusi (DUN) yang ditandingi sudah dalam genggaman kita, empat masih dalam pertarungan sengit, manakala empat lagi perlu menyusun semula strategi serta perlu bekerja keras untuk memintas pihak lawan.

“Untuk 26 kerusi ini, kita macam lawan dengan diri sendiri, lawan dengan bayang-bayang kita saja, mana pergi bendera Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, malam ini.

Pada majlis itu, hampir keseluruhan pimpinan tertinggi daripada PH dan BN hadir iaitu Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Amanah negeri,  Dr Roslan Ahmad dan Pengerusi BN negeri, Musa Sheikh Fadzir.

Choon Aik berkata, semua jentera PH dan BN diminta membantu rakan jentera di kawasan yang masih menghadapi persaingan sengit.

“Jentera kita kena turun berkempen di kawasan agak kurang kuat dan bantu rakan kita yang masih perlu bersaing hebat,” katanya.

DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi di mana DAP bertanding di 19 kerusi diikuti PKR 13, UMNO 6, dan Amanah 2.

Related posts

Leave a Comment