MKT mohon pengampunan penuh Najib

KUALA LUMPUR 7 April – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini, memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu MKT dalam mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepemimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO.

“Mesyuarat bulanan MKT hari ini, membincangkan beberapa perkara, antaranya keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran Najib menyemak sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasanya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

MKT mengambil maklum rasa dukacita dan keresahan ahli UMNO di peringkat akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil, seiring penghakiman menentang yang dizahirkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, yang turut menyatakan Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil serta wajar dibebas dan dilepaskan.

“MKT juga menerima memorandum daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda Puteri yang memohon supaya kepemimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Anggota panel lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Rhodzariah Bujang dan  Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais.

Abdul Rahman berkata, panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir Najib pada 23 Ogos tahun lalu, gagal memberikan keputusan yang saksama kerana beliau dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Najib, 69, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment