PAU 2023 menjelang PRN enam negeri

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2023 akan berlangsung lebih awal berbanding kebiasaan iaitu dari 7 hingga 10 Jun depan, sebelum jentera parti turun berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pada 14 Mei ini pula akan adakan konvensyen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC)

“Kita juga akan sama-sama dengan parti lain bergerak bukan sahaja untuk PRN di enam negeri, tetapi juga sebagai pasukan untuk pemantapan kerajaan.

Jika kita satukan saf kepimpinan kerajaan ini akan kekal sehingga sekurang-kurangnya hingga Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di WTC Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) amat menghargai kerjasama rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus mendukung aspirasi kerajaan.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO serta tiga Naib Presiden iaitu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato Onn di sini.

Related posts

Leave a Comment