223 kes harian Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA 12 Mac – Malaysia merekodkan 223 kes baharu Covid-19 semalam, termasuk tiga kes import, yang menunjukkan sedikit penurunan berbanding 251 yang dilaporkan kelmarin.

Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 5,045,192 yang meliputi 5,006,475 kes tempatan dan 38,717 kes import.

Sementara itu jumlah meninggal dunia pula kekal 36,967 orang termasuk 7,877 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) berikutan tiada kematian baharu dilaporkan semalam.

Sementara itu, jumlah kes aktif yang direkodkan adalah 9,380 dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,077 kes atau 96.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 298  pesakit atau 3.2 peratus mendapat rawatan di hospital, lima daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 193 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,998,845.

Bagi kes harian negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 74 kes berbanding 87 kelmarin manakala Selangor mencatatkan 60 kes berbanding 68 kes kelmarin.

Related posts

Leave a Comment