Tubuh RCI siasat skandal ‘mafia korporat’

SEPANG 30 Jun – Sebanyak 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal didakwa membabitkan ‘mafia korporat’.

Siasatan juga termasuk sama ada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Azam Baki, mempunyai sebarang pembabitan mengenainya.

Dalam memorandumnya, sekretariat RCINOW mencadangkan RCI itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara,  Tengku Maimun Tuan Mat, bersama beberapa bekas anggota badan kehakiman yang disegani dan wakil ahli akademik serta masyarakat sivil.

Sekretariat itu berkata, komposisi berkenaan penting bagi memastikan wujud pemisahan jelas antara suruhanjaya dan pihak disiasat, sekali gus mengurangkan risiko campur tangan politik.

“Sehubungan itu, sekretariat menggesa kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan kuasa mengikut Seksyen 2(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 untuk menubuhkan RCI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekretariat itu berkata, RCI berkenaan perlu menyiasat dakwaan pembabitan peribadi Azam dalam operasi ‘mafia korporat’ termasuk hubungannya dengan individu dikenali sebagai Andy Lim yang didakwa mempunyai kaitan rapat dengan rangkaian berkenaan.

Ia turut menggesa RCI menyiasat dakwaan pembabitan Seksyen D SPRM dalam mengganggu dan mengugut ahli perniagaan bagi memudahkan pengambilalihan syarikat secara paksa, selain menyiasat sama ada Azam mempunyai pembabitan atau bertanggungjawab terhadap operasi bahagian terbabit.

Sekretariat itu berkata, RCI adalah mekanisme paling sesuai bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa membabitkan agensi penguat kuasa atau pegawai kanan kerajaan kerana siasatan dalaman berisiko terdedah kepada konflik kepentingan atau campur tangan politik.

Selain itu, mereka menggesa kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh bagi mengelak skandal seumpama itu berulang, termasuk memperbaharui proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan menetapkan syarat kelayakan secara jelas dalam Akta SPRM 2009.

Sekretariat itu turut mencadangkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) diwujudkan bagi meneliti dan menilai calon sebelum memilih individu paling layak berdasarkan kriteria ditetapkan undang-undang.

Ia mesti membabitkan proses terbuka dan telus bagi mengenal pasti atau mencalonkan individu untuk dipertimbangkan PSSC.

“Selepas memilih calon, PSSC perlu mengemukakan nama calon kepada Perdana Menteri bersama laporan bertulis yang menjelaskan asas pemilihan. Perdana Menteri kemudiannya mengemukakan nama calon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan rasmi.

“Semua prosiding PSSC berkaitan pelantikan, siasatan utama dan pemantauan institusi juga perlu dijalankan secara terbuka, dengan transkrip serta laporan didedahkan kepada umum, kecuali perkara yang tertakluk kepada pengecualian kerahsiaan yang benar-benar perlu,” kata kenyataan itu.

Sekretariat itu turut menuntut PSSC diberi kuasa menjalankan siasatan, memanggil saksi dan mengesyorkan tindakan terhadap sebarang salah laku.

Selain itu, mereka menggesa SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Ombudsman bagi membolehkan badan bebas itu menyiasat aduan berkaitan salah tadbir dalaman dan salah laku kakitangan, selain memperkasakan peranan Parlimen serta Ombudsman Malaysia dalam aspek pengawasan.

Mereka turut menggesa proses penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM dipinda supaya tidak dilakukan secara unilateral oleh Perdana Menteri tanpa alasan munasabah atau proses sewajarnya.

Related posts

Leave a Comment