“Ayuh teruskan pemerkasaan Wanita”

KUALA LUMPUR 12 Mac – Dr Noraini Ahmad yang mempertahankan  jawatan Ketua Wanita UMNO dalam  pemilihan semalam bersyukur dapat mengekalkan kedudukannya dan mengajak wanita meneruskan pemerkasaan pergerakan itu ke tahap lebih tinggi.

Menerusi laman sosial Facebook pagi ini, Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya melalui pemilihan itu.

“Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah SWT.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita UMNO di seluruh negara serta sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya.

Ayuhlah, bersama kita meneruskan pemerkasaan Wanita untuk ke tahap lebih tinggi menjadi realiti!,” katanya.

Noraini menghadapi saingan sengit bagi kerusi Ketua Wanita UMNO pada pemilihan kali ini apabila dicabar Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula pada pemilihan kali ini.

Saingan bagi kerusi Ketua Wanita UMNO pada pemilihan kali ini, menyaksikan kedua-dua pemimpin terbabit saling kejar mengejar dalam jumlah undi yang diterima mereka daripada peringkat bahagian.

Shahrizat, 70, yang bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO pada 2018, memutuskan kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat permintaan daripada kalangan pemimpin akar umbi.

Jumlah rasmi undi dijangka diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.

Related posts

Leave a Comment