Nga Kor Ming letaklah jawatan

MUAR – Barisan Nasional (BN) mencabar hasrat Nga Kor Ming meletak jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata cabaran dibuat oleh Timbalan Pengerusi DAP terbabit selari dengan hasrat BN mahu beliau meletak jawatan.

“Alhamdulillah. Letaklah jawatan dan memang pun kita nak dia letak jawatan. Apa kena-mengena perihal negeri Johor dengan Datuk Seri Najib? Itu Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerajaan negeri. Kalau BN menang di Johor, kita buat tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tak ada kena-mengena dengan hal-hal Persekutuan.

Jangan cakap besar sangat. Saya tak mahu menyentuh orang tetapi kalau dia dah mencabar-cabar kita, kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tak ada masalah bagi kita,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri kempen PRN Johor bersama penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bersama calonnya, Datuk Azman Ismail, di sini hari ini.

Terdahulu, Kor Ming dilaporkan berkata, beliau akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.

Pada masa sama, beliau juga membayangkan DAP akan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia adalah “garis merah” parti terbabit.

Kor Ming mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah”.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, beliau enggan melayan sentimen yang cuba dimainkan Kor Ming itu, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha kempen parti.

Related posts

Leave a Comment