SEPANG 30 Jun – Empat pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor disingkirkan manakala dua lagi digantung sehingga polis selesai menjalankan siasatan kes buli, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata hukuman itu diputuskan selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab MRSM bersidang pagi tadi.
“Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi setelah JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli. Namun, amaran berulang kali diberikan. #YouTouchYouGo.
Dua daripadanya digantung sehingga pengesahan diperoleh daripada pihak polis yang melakukan siasatan sama ada mereka juga turut terbabit melakukan sentuhan fizikal dalam kes buli tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Kelmarin, Asyraf Wajdi mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah, MARA serta pihak pentadbir MRSM mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam.
Ia bagi menyiasat dan menyingkirkan enam pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terbabit kes buli di sebuah MRSM di Johor.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendedahkan insiden itu terbongkar apabila ibu bapa seorang pelajar membuat perkongsian melalui Threads berikutan anak mereka meminta untuk bertukar keluar dari sebuah MRSM di Johor kerana mendakwa tidak tahan menjadi mangsa buli.
Susulan laporan polis dibuat keluarga mangsa, katanya, enam pelajar Tingkatan Lima disyaki terbabit kini direman dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bakri bagi membantu siasatan.
Nnn
