Perwakilan Bersatu tolak peletakan jawatan Presiden

KUALA LUMPUR 12 Mac – Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali kelima yang berlangsung hari ini meluluskan usul menolak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.

Usul yang dibentangkan oleh Timbalan Presiden,  Ahmad Faizal Azumu itu dipersetujui dan mendapat tepukan gemuruh oleh lebih 2,000 perwakilan yang hadir di Dewan Wawasan, ibu pejabat Parti Gerakan di sini.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, menyokong usul itu yang kemudiannya disahkan oleh  Mohd Suhaimi Abdullah.

Ahmad Faizal berkata, pengorbanan Muhyiddin tidak boleh dipertikaikan kerana pelbagai tekanan sudah dikenakan keatas beliau termasuklah pemecatan dalam jawatan kerajaan.

“Beliau pernah dipecat dengan mendadak dan hari ini, beliau dituduh dengan penuh kezaliman. Abah (Muhyiddin) kita akan sentiasa bersama kita dan ini adalah masa untuk beliau bersama kita,” katanya.

Hamzah semasa menyokong usul itu menegaskan belum sampai waktunya untuk khidmat serta kepemimpinan Muhyiddin sebagai presiden parti itu berakhir.

Sebaliknya, beliau berkata, perjuangan parti ketika ini baru sahaja bermula dengan mempertahankan Muhyiddin selaku simbol yang memberi inspirasi untuk menentang kemungkaran dan menegakkan keadilan.

Beliau mengakui, inspirasi ini jugalah yang mengubah landskap politik negara apabila Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan.

“Perjuangan belum selesai. Perjuangan lebih panjang dan baru sahaja bermula. Tan Sri (Muhyiddin) perlu kita pertahankan dengan kudrat yang ada, insya Allah kami juga akan berjuang demi Tan Sri.

Dasar-dasar Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) yang menindas rakyat serta politik dendam Anwar harus kita lawan demi rakyat, demi negara.

“Kerana itu khidmat Tan Sri belum berakhir. Amat jelas khidmat Tan Sri masih diperlukan, perjuangan kita baru bermula,” katanya

Semalam, Hamzah memaklumkan, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bersetuju mengekalkan kedudukan Muhyiddin sebagai presiden parti itu, selepas mesyuarat khas MPT Bersatu.

“MPT sebulat suara menolak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu kerana pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu, bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapan perasmian PAT itu menyatakan rasa terharu dan bangga dengan semangat setiakawan yang ditunjukkan para perwakilan dan akan terus memimpin parti itu.

Katanya, semalam, beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu disebabkan kedudukannya yang sedang berhadapan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata, sebagai mendokong prinsip dan moto perjuangan iaitu Bersatu, Bermaruah dan Beramanah,  beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap pertuduhan keatasnya.

“Walau bagaimanapun Majlis Pimpinan Tertinggi menolak tawaran saya untuk meletak jawatan dan pagi ini para perwakilan juga meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden.

Dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan, saya meneruskan tugas saya sebagai Presiden parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment