Banjir di Johor catat penurunan

JOHOR BAHRU 11 Mac – Banjir di Johor terus menunjukkan penurunan setakat pukul 8 malam ini apabila jumlah mangsa berkurang kepada 42,770 orang melibatkan 12,159 keluarga, berbanding 43,793 orang (12,465 keluarga) pada pukul 4 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 154 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, sebanyak lapan PPS ditutup sehingga malam ini.

“Kini tinggal Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat yang masih terjejas dengan banjir,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Batu Pahat menunjukkan penurunan mangsa banjir dan kini seramai 39,800 orang melibatkan 11,182 keluarga yang kini ditempatkan di 115 PPS di daerah itu.

Di Muar pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,532 orang (457 keluarga) di 16 PPS dan Tangkak pula berkurangan menjadi 1,037 orang (412 keluarga) di 10 PPS.

Azmi berkata, Segamat pula mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 401 orang (108 keluarga) di 14 PPS.

Sebelum ini setakat pukul 6 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir di tiga negeri sedikit meningkat dengan 44,994 mangsa direkod berlindung di PPS.

Berdasarkan rekod Agensi Pengurusan Bencana Negara sehingga pukul 6 pagi ini, Johor terus merekodkan angka tertinggi dengan 44,442 mangsa membabitkan 12,538 keluarga.

Related posts

Leave a Comment