Siapa terajui Wanita, Pemuda dan Puteri?

KUALA LUMPUR: Siapa bakal memimpin Pergerakan Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri akan diketahui hari ini apabila pemilihan bagi ketiga-tiga sayap berkenaan berlangsung dengan proses pengundian para perwakilan seluruh Malaysia.

Tempoh pengundian bagi pemilihan UMNO 2023 peringkat sayap hari ini dilanjutkan sehingga pukul 7 malam khusus bagi bahagian UMNO yang terkesan banjir.

Bagi pemilihan peringkat sayap-sayap parti merangkumi Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat pusat hari ini, seramai 266 calon bakal bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan.

Pemilihan itu akan berlangsung serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian yang diadakan serentak di seluruh negara.

Bagi sayap Wanita UMNO, seramai dua calon mempertandingkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (4), Ketua Wanita UMNO (2), Naib Ketua Wanita UMNO (2) dan 61 bagi jawatan Exco.

Pertembungan satu lawan satu ini menjadi tumpuan apabila penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, akan dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018.

Shahrizat, 70, yang mengumumkan bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO ketika itu, kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat gesaan daripada kalangan pemimpin akar umbi Wanita.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO pula, seramai tujuh orang calon menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (12), Ketua (4), Naib Ketua (4) dan 113 jawatan Exco.

Jawatan Ketua Pemuda kosong berikutan keputusan penyandang Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, dua orang calon menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco.

Penyandang Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarikh Khan tidak mempertahankan jawatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan para calon yang menawarkan diri pada musim pemilihan ini untuk mematuhi segala tataetika ditetapkan bagi menambah baik imej parti.

Keputusan rasmi pemilihan ini akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad.

Related posts

Leave a Comment