Akmal menang Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR 11 Mac –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, dilaporkan secara tidak rasmi memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan beliau memperoleh 102 undi daripada 189 bahagian yang menjalankan pemilihan bagi sayap pergerakan UMNO itu, menewaskan tiga pencabar lain.

Pencabarnya, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah merangkap Ahli Parlimen Paya Besar memperoleh 15 undi manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, mendapat enam undi.

Seorang lagi calon iaitu Meor Hassan Mat Ali, gagal mendapat sebarang undi.

Keputusan tidak rasmi itu, turut dikongsikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di akaun Instargram.

Sementara itu, penyandang Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, mendahului pesaingnya apabila mengumpul 41 undi setakat pukul 11 malam ini, meninggalkan Tan Sri Shahrizat Abd Jalil yang mendapat 29 undi.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO, Norliza Abdul Rahim, mendahului dengan 46 undi, sambil diekori Rosni Zahari yang mendapat 23 undi.

Sementara bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO, Naszriah Ngasri, mendahalui dengan 53 undian, diekori Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dengan 46 undi, manakala Wan Mohalina Wan Mohammad dengan 40 undian.

Bagi pemilihan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, mendahului dengan 53 undi, diikuti Datuk Khaidirah Abu Zahar dengan 26 undian.

Bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin mendahului dengan 66 undian, p meninggalkan pesaing terdekat, Rina Farhana Abdullah dan Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani, masing-masing mendapat 23 dan 21 undian.

Nik Zakirah Farhanis Zakimi Na Rahin dan Nooryana Najib antara calon jawatan AJK Puteri UMNO yang memperoleh undian tinggi dengan 96 dan 94 undi.

Selain Nooryana, Nurul Syifaa Mohd Ridzwan Goh turut mendapat 95 undi untuk jawatan sama.

Keputusan terkini Pemilihan UMNO 2023 dipaparkan menerusi laman Facebook UMNO Online bermula pada jam 2.00 petang tadi secara berperingkat berdasarkan bahagian yang sudah menyelesaikan proses pengiraan undi.

Related posts

Leave a Comment