Bersatu perlu gagas naratif Melayu baharu

KUALA LUMPUR 11 Mac – Bersatu perlu menggagaskan naratif Melayu baharu yang akan digunakan sebagai persediaan menghadapi realiti politik semasa, kata Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata, ini kerana, realiti politik Melayu kini berada dalam era kemerosotan dengan pengaruh di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat semakin mengecil bermula 2018.

Ketua Biro Politik Armada Bersatu itu mendakwa, kemerosotan itu turut didorong faktor kerjasama antara UMNO dan DAP yang disifatkan sebagai pengkhianatan terbesar serta hipokrasi politik Melayu.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal , representasi orang Melayu dalam institusi legislatif di (peringkat) Pusat dan negeri yang kecil secara langsung menjadikan naratif Melayu, sosiobudaya, ekonomi dan kepercayaan orang Melayu, semakin tidak signifikan serta dianggap sebagai picisan atau alternatif.

“Malah, jika institusi legislatif bercakap mengenai kepentingan, program dan inisiatif Melayu serta dasar dan undang-undang pro-Melayu, mereka akan dianggap sebagai asing atau tak cukup inklusif bagi pembawakan politik Malaysia ketika ini.

“Buktinya, di Parlimen kita jarang mendengar Ahli Parlimen dari kerajaan bercakap mengenai kelangsungan Melayu dan Bumiputera. Hanya Ahli Parlimen PN yang berani menyuarakan hal demikian.

“Saya khuatir, masyarakat Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air, akhirnya beranggapan demokrasi tak berupaya merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka, jika situasi ini berterusan,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan kes mahkamah dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sama seperti pertuduhan skandal kewangan terbesar dunia seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pertuduhan ke atas Muhyiddin itu jelas bersifat pendakwaan terpilih yang dimotivasikan ketakutan melampau terhadap pengaruh Bersatu dalam politik Melayu.

“Ini bukan kali pertama beliau (Muhyiddin) diuji. Saya mahu ingatkan perwakilan dan semua rakyat, Muhyiddin bukan (seperti) Najib. Jauh sekali terlibat dalam skandal kewangan terbesar dunia seperti 1MDB.

“Orang Melayu lebih pandai menilai mana yang permata dan mana yang kaca. lanya jauh sekali daripada adil dan amat tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment