251 kes harian Covid-19, tiada kematian baharu

PUTRAJAYA 11 Mac – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam menunjukkan sedikit penurunan dengan merekodkan 251 termasuk satu kes import berbanding 279 termasuk enam kes import kelmarin.

Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 5,044,969 yang meliputi 5,006,255 kes tempatan dan 38,714 kes import.

Jumlah kematian pula kekal 36,967 orang termasuk 7,877 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) berikutan tiada kes baharu dilaporkan semalam.

Sementara itu, jumlah kes aktif naik sedikit kepada 9,350 berbanding 9,296 kelmarin, dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,012 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 332 pesakit atau 3.6 peratus mendapat rawatan di hospital, enam daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 197 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,998,652.

Bagi kes harian negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 87 kes berbanding 81 kelmarin manakala Selangor mencatatkan 68 kes berbanding 63 kes kelmarin manakala tiada kes baharu di Terengganu.

Related posts

Leave a Comment