Armada Bersatu kini ada 120,756 anggota

KUALA LUMPUR 11 Mac – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika kini mencatatkan jumlah keanggotaan seramai 120,756 orang, kata Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 11,637 orang berbanding 109,119 pada tahun sebelumnya dan secara keseluruhan sayap parti itu mempunyai 173 bahagian.

Katanya, terdapat pertambahan yang sangat positif untuk keahlian Armada dan program akan  diperbanyakkan lagi pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Armada di sini hari ini, iaitu perhimpunan kali keempat yang menyaksikan seramai 429 perwakilan dari seluruh negara yang hadir.

Sementara itu, Ketua Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang akan datang, sebaliknya bakal merebut jawatan di peringkat tertinggi parti.

Ahli Parlimen Machang itu berkata keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira usianya yang kini telah melepasi had usia untuk keahlian sayap belia Bersatu itu, seperti tertakluk dalam peraturan Armada.

“Saya akan beralih ke jawatan lebih tinggi, apa jawatannya tidak akan saya umumkan hari ini, tapi yang pasti saya akan bertanding ke jawatan lebih tinggi,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu 2022, hari ini.

Difahamkan pemilihan peringkat pusat Bersatu akan berlangsung pada November tahun ini manakala peringkat bahagian pula pada bulan Oktober dan cawangan pada Julai 2023.

Mengenai pembabitan Armada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau telah pun mencadangkan beberapa calon daripada Armada untuk dipertimbangkan oleh kepemimpinan tertinggi Bersatu.

“Buat masa sekarang kita sudah ada (nama calon) tapi itu hanya cadangan, kerusi kita belum tahu lagi berapa yang dipersetujui di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan masih dalam peringkat rundingan lagi.

“Saya boleh cakap memang akan ada sekurang-kurangnya satu calon Armada di setiap negeri kerana itu adalah tradisi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment