JAC tidak cadang Richard Malanjum

PUTRAJAYA  22 Okt. – Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak pernah mencadangkan nama Tun Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara sebelum ini.

Sebaliknya, pelantikan pada 2018 berkenaan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Begitu juga dengan pelantikan Ahmad Maarop sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sebelum ini serta David Wong Dak Wah (Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak).

Perkara itu didedahkan dalam laporan Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan ke atas dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tommy yang dinyahklasifikasikan.

Laporan itu menyebut, Tommy dan Dr Mahathir ketika itu bersetuju dengan pelantikan tiga individu berkenaan, selain Zaharah Ibrahim sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya.

Laporan itu mendedahkan, JAC sebaliknya mengesyorkan Azahar Mohamed dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Rohana Yusuf (Presiden Mahkamah Rayuan) serta Abdul Rahman Sebli (Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak), manakala Ahmad ketika itu masih memegang jawatan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya.

STF berkata, sekiranya Perdana Menteri (ketika itu) tidak bersetuju dengan calon yang dipilih, beliau seharusnya meminta lebih banyak nama disenaraikan untuk mengisi jawatan kehakiman terbabit.

Sebaliknya, menurut laporan Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan antara Kerajaan, nama dikemukakan oleh Perdana Menteri (pada masa itu) ketika mempersembahkan nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 122B Perlembagaan, adalah nama yang dibincang serta dipersetujui antara Dr Mahathir dan Tommy.

Dalam pelantikan sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, STF memaklumkan pelantikan David tidak dibuat melalui konsultasi dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak (ketika itu) sebagaimana diwajibkan bawah Perkara 122B(3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kegagalan mengadakan konsultasi dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak adalah pelanggaran Perlembagaan Persekutuan yang mana Peguam Negara ketika itu gagal menasihatkan perkara itu kepada Perdana Menteri.

Justeru, STF mengesyorkan kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pindaan pada Akta JAC untuk melarang Perdana Menteri menyembah maklum nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong dalam melantik pegawai kehakiman yang tidak dicadangkan oleh JAC.

Related posts

Leave a Comment