Selat Hormuz mula dilalui kapal

TEHRAN –  Kapal-kapal sudah mula melalui semula Selat Hormuz dan laluan minyak yang amat penting itu akan “dibuka sepenuhnya” menjelang Jumaat, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Kapal-kapal sudah mula bergerak, kebanyakannya membawa muatan minyak, keluar dari Selat Hormuz,” kata Trump, selepas Washington dan Tehran mengumumkan perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Pembukaan semula salah satu laluan tenaga paling penting di dunia itu dilihat sebagai langkah besar ke arah menamatkan konflik berdarah dan kegawatan ekonomi yang berlarutan selama beberapa bulan susulan serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari.

Media Iran melaporkan pada petang Isnin bahawa tiga kapal tangki minyak dan dua kapal kargo yang membawa barangan telah berjaya melalui kawasan yang sebelum ini tertakluk kepada sekatan tentera laut AS.

Iran telah menyekat Selat Hormuz sejak bermulanya perang, menyebabkan harga minyak melonjak dan mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi global yang berpanjangan.

AS, Iran dan pengantara utama, Pakistan, memaklumkan bahawa perjanjian damai itu dijadual ditandatangani pada Jumaat di Switzerland.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata Trump, Naib Presiden, JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf sebenarnya telah menandatangani dokumen tersebut secara elektronik.

Menurut pegawai itu, Trump mahu menandatangani perjanjian itu sendiri bagi menunjukkan komitmennya untuk memastikan proses tersebut berjaya diselesaikan.

Ditanya mengenai bila teks perjanjian akan didedahkan kepada umum, Trump berkata: “Ia adalah dokumen yang sangat penting dan saya mahu ia diterbitkan. Jadi mungkin tidak lama lagi.”

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata perjanjian itu membawa kepada “pengakhiran segera” perang, manakala rundingan mengenai perjanjian muktamad akan diadakan dalam tempoh dua bulan.

Tentera Iran menyifatkan perjanjian itu sebagai satu kemenangan, dengan mendakwa mereka telah “menghinakan” AS dan Israel.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pula menyifatkannya sebagai “pencapaian besar” untuk rantau berkenaan.

Bagaimanapun , Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menegaskan “Kami mempunyai sejarah janji yang dimungkiri. Kami mempunyai sejarah perjanjian yang dibatalkan. Semua itu masih segar dalam ingatan kami,” .

Related posts

Leave a Comment