AMPANG 5 Nov. – Tugas berat menanti penyandang kerusi Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin apabila berdepan pertembungan sembilan penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Zuraida yang mewakili kawasan itu sejak 2008 dan memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada PRU14 kini mempertahankan kerusi disandangnya itu atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Tugasnya juga mencabar apabila berhadapan calon PH dari PKR, iaitu Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail di samping Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN).
Turut sama Sasha Lyna Abdul Latif (PN), Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Fauzi Mohd Yatim mengumumkan senarai calon bertanding pada pukul 10.57 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, di sini ditutup pada pukul 10 pagi.
