Lapan penjuru di Bangi

BANGI 5 Nov. –  Parlimen Bangi mencatatkan pertandingan lapan penjuru melibatkan lima parti dan tiga calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Mereka adalah Syahredzan Johan (PH), Hoh Hee Lee (BN), Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PN), Chee Chee Meng (PRM), Annuar Salleh (Pejuang) serta calon Bebas Jamal Hisham Hashim, Suthan Mookaiah dan Muhammad Fauzi Hasim.

Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Bangi, Dr Ani Ahmad berkata, pihaknya berpuas hati dengan kertas penamaan calon yang dikemukakan.

Pada PRU14 lalu, Dr Ong Kian Ming (PKR-DAP) memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 68,768 dalam persaingan empat penjuru membabitkan calon daripada BN, Pas dan PRM.

Persaingan empat penjuru menyaksikan calon Pas, Mohd Shafie Ngah mendapat 33,789 undi; Kian Ming, 102,557 undi; calon PRM, Wan Jinn Woei, 215 (hilang deposit) dan calon BN, Liew Yuen Keong, 19,766 undi.

Kian Ming tidak bertanding kali ini dan memberi laluan kepada Syahredzan Johan, juga mewakili DAP.

Sementara itu, Syahredzan menyifatkan pertandingan lapan penjuru di Bangi menunjukkan demokrasi di Malaysia adalah subur.

“Ada ramai yang telah mencalonkan diri dan dicalonkan. Jadi kita tidak boleh melihat ia sebagai satu perkara yang negatif walaupun sebagai calon sudah tentu kita harapkan sokongan tersebut.

“Tetapi apabila ramai macam ini maknanya rakyat akan ada pilihan yang lebih banyak untuk menentukan siapa yang akan mewakili mereka di Bangi

“Kita juga tak boleh lupa 300,000 pengundi dekat Bangi ini maknanya ada pelbagai lapisan masyarakat di Bangi,” jelasnya.

Related posts

Leave a Comment