PM Lee ucap tahniah

SINGAPURA : Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yakin Tharman Shanmugaratnam dapat melaksanakan tugasnya sebagai Presiden dengan cemerlang berdasarkan rekod perkhidmatan awam yang panjang dan cemerlang.

Menurut Lee, beliau telah menghubungi Tharman untuk mengucapkan tahniah atas pemilihannya, dan memberi jaminan mengenai kerjasama penuh di bawah pemerintah sekarang.

“Rakyat Singapura telah memilih Tharman Shanmugaratnam sebagai Presiden kita yang seterusnya menerusi margin yang kukuh.

Sebagai Ketua Negara, beliau akan mewakili kita di dalam dan luar negara, mempunyai kuasa penjagaan termasuk ke atas rizab dan pelantikan utama,” katanya dalam kenyataan mengulas keputusan Pilihan Raya Presiden.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga calon yang tampil ke depan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden.

“Saya gembira yang rakyat Singapura berpeluang untuk melaksanakan hak untuk mengundi untuk Presiden kita yang seterusnya dan fokus kepada peranan seorang Presiden dipilih.

“Dalam pilihan raya ini, pengundi dan calon menunjukkan pemahaman lebih tinggi tentang peranan dan tugas seorang Presiden, yang merupakan petanda baik untuk Singapura,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sebagqi Ketua Negara, Presiden perlu menjadi tokoh penyatu yang boleh dihormati dan dikenali semua rakyat Singapura.

Katanya , Presiden mesti menggunakan kuasa penjagaannya di bawah Perlembagaan dengan bijak, membawa pengalaman dan penilaian bebasnya.

Beliau juga berterima kasih kepada pegawai pilihan raya dalam memastikan pilihan raya Presiden berjalan lancar dan juga kepada semua pengundi, di dalam dan di luar negara, kerana menjalankan tanggungjawab.

“Sekarang pilihan raya telah berakhir, marilah kita bersatu semula sebagai rakyat Singapura, untuk menangani cabaran yang mendatang dan membina sebuah negara yang lebih kuat dan bersatu padu.” Katanya.

Related posts

Leave a Comment