JOHOR BAHRU 25 Jun – Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, menegaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu dibuat selepas mendapat titah perkenan Tunku Mahkota Ismail bukannya atas arahan Pemangku Sultan Johor itu.
Justeru Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kepada Puad kononnya pihak Istana “mengarahkan” pembubaran DUN Johor.
“Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895,” katanya.
Onn Hafiz dalam kenyataannya berkata, Menteri Besar tidak boleh membubarkan DUN sesuka hati sebaliknya perlu melalui proses yang ditetapkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara itu. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran DUN Johor kepada rakyat secara terbuka.
Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor
Onn Hafiz menyifatkan kenyataan Mohd Puad sebagai tidak bertanggungjawab dan memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
“Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepemimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.
Susulan kenyataan Mohd Puad, Onn Hafiz berkata, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.
Terdahulu, menerusi Facebook, Mohd Puad mengumumkan keluar UMNO serta-merta atas alasan parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan dan mendakwa UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat keputusan.
Penyandang kerusi DUN Rengit itu dilaporkan berkata, Onn Hafiz sendiri membuat pengakuan kepadanya ketika pertemuan di Saujana (kediaman rasmi Menteri Besar) pada 21 Jun lalu yang kemudian memaklumkan kepadanya bahawa pihak Istana yang bertitah supaya DUN Johor dibubarkan.
Nnnn
