Bekas ADUN keluar UMNO tanding tiket Bersatu

MUAR 25 Jun  – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang Abdul Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar UMNO dan akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Bersatu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16

Abd Mutalip, 56, juga bekas Exco Agama sejak 2013 hingga 2018 mengumumkan perkara itu di Pejabat Bersatu Pagoh dan menjelaskan keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.

Penyandang DUN terbabit penggal lalu berkata, keputusan itu juga dibuat selepas menerima desakan serta permintaan pengundi di Layang-Layang yang mahukan beliau terus berkhidmat kepada mereka.

“Ada yang tanya apa yang berlaku di Layang-Layang sedangkan di sana terdapat hampir 60 peratus pengundi Melayu. Disebabkan itulah saya ditanya oleh pengundi saya terutama orang Melayu.

“Nak rasis jauh sekali dan saya tidak tahu keadaan sekarang kerana pengundi menanyakan soalan kenapa tidak diletakkan calon Melayu.

“Saya sudah penat, tapi kerana tanggungjawab demi agama bangsa dan juga pengundi, saya ambil keputusan bertanding lagi,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keluar parti.

Abdul Mutalip mendedahkan, perasaan kecewa atau permusuhan terhadap UMNO antara yang mendorong beliau kembali ke Bersatu.

“Saya tiada isu dengan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam (Datuk Onn Hafiz Ghazi). Kami berkawan, tiada paksaan tiada rasa benci dan politik hanyalah platform untuk berkhidmat.

“Kita bukan mahu tunjuk siapa yang baik, tetapi kita akan berusaha lakukan yang terbaik untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat dengan semangat Maal Hijrah, jadi kita berhijrah kalau ada yang lebih baik,” katanya.

Setakat ini, PH mencalonkan Guna Balakrishnan yang mewakili PKR, manakala BN diwakili Chua Juan Boon dari MCA.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment