SEPANG 25 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, mengumumkan keluar parti itu serta-merta hari ini atas alasan UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan dikawal oleh istana.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mendakwa banyak contoh menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat dan beliau perlu melakukan ‘keberanian politik’ mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah.
Beliau yang sedar akan dikecam dan dihina malahan keselamatan terancam, bersedia bertempur dalam apa juga keadaan dengan berbekalkan ‘keberanian politik’.
“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang.
“Kini saya bebas mengkritik UMNO satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Pengundurannya daripada UMNO dibuat sehari selepas beliau memberi bayangan mengenai satu pengumuman besar yang akan dibuat pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohd Puad berkata, ada yang akan menuduh beliau keluar UMNO kerana kepentingan diri.
“Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi. Saya tinggalkan UMNO di saat KJ (Khairy Jamaluddin), Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Noh Omar (Tan Sri Noh Omar) kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?
“Alasan utama saya keluar UMNO ialah, UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan,” katanya.
Menerusi kenyataan itu, Mohd Puad mendakwa satu bukti jelas ialah Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi sendiri membuat pengakuan kepadanya semasa pertemuan di Saujana, Ahad lalu.
“Beliau memaklumkan bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026.
“Banyak lagi contoh contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat. Saya perlu melakukan “keberanian politik” mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah,” dakwanya.
Beliau juga tidak mahu UMNO dipimpin oleh apa yang disifatkan ‘Pengecut Politik’ sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan “mediocre”.
“Saya bertawakal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” katanya.
Semalam, Mohd Puad yang tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, dilaporkan berkata selepas meneliti senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRN berkenaan, beliau mendapati ada perkara yang ‘tidak kena’ dengan UMNO Johor.
“Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan. Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” kata Mohd Puad dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.
Justeru beliau akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026.
Nnnnn
