Bajet lebih baik jika PN menang

KUALA KANGSAR 10 Okt. – Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan belanjawan 2023 yang lebih baik jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Beliau menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu hanya halwa telinga iaitu sekadar untuk menyedapkan hati sekiranya Parlimen dibubarkan dalam waktu terdekat.

“Bajet sudah bentang, kalaulah jadi esok Parlimen dibubarkan, apa jadi dengan belanjawan itu? Adakah sekadar halwa untuk sedapkan telinga jika berhenti di situ (tidak diluluskan Parlimen)?

“Bila PN menang nanti, kita bentang (bajet yang) Insya-Allah lebih baik,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran PN negeri Perak di Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata beliau yakin dan optimis PN Perak berupaya memenangi PRU15 dengan berpandangan bahawa kemenangan di Perak merupakan indikator kemenangan bagi PN di Malaysia secara amnya termasuk merampas Johor.

“Kalau esok terbubar Parlimen saya sudah berasa Perak boleh menang, nampak ada harapan baik, menang peringkat Perak, menang seluruh negara, (dan) harap Johor pun menang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment