DNA Bersatu dorong UMNO tolak formula Pas

KUALA LUMPUR 10 Okt. –  UMNO menolak formula Pas yang mendukung Bersatu bagi menjayakan penyatuan ummah, memandangkan parti itu ditubuhkan dengan cita-cita supaya UMNO itu diakhiri, ditolak dan dimatikan.

Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata, Bersatu tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu manakala DNAnya ialah anti UMNO dan karakternya adalah khianat.

“UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah, namun yang ditolak UMNO ialah penyelamatan Bersatu.

“Bagi UMNO, formula Pas untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu. Bersatu adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.

“Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui ‘sindiket’ pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mohamed Khaled menjelaskan bahawa UMNO adalah gerakan politik, bukan gerakan dakwah dan tugas UMNO ialah mengurus dan mentadbir negara.

Katanya, penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya kerana UMNO sudah dan akan usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim apabila ia mentadbir nanti.

“Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu. Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.

“Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya supaya ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment