PUTRAJAYA 1 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengemukakan lima syor termasuk tiada perubahan terhadap bilangan bahagian pilihan raya Persekutuan bagi Sarawak.
Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus, berkata bagaimanapun, terdapat bahagian pilihan raya Persekutuan yang terbabit dalam semakan semula dan tersentuh oleh syor yang dicadangkan.
Menerusi, satu kenyataan, beliau berkata, jumlah bahagian pilihan raya negeri bagi Sarawak dicadang ditambah sebanyak 17 bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99.
Katanya, bagi maksud kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya ini, terdapat pindaan dibuat kepada nama bahagian pilihan raya Persekutuan yang membabitkan satu bahagian pilihan raya Persekutuan dalam negeri Sarawak.
Begitu juga pindaan dibuat kepada nama bahagian-bahagian pilihan raya negeri yang membabitkan sepuluh bahagian-bahagian pilihan raya negeri dalam Sarawak.
Terdahulu, SPR mula mempamerkan notis cadangan bagi menambah kawasan pilihan raya baharu dan pertukaran nama kawasan pilihan raya di Sarawak.
Khairul Shahril berkata, notis berhubung Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak disiarkan dalam warta hari ini.
Beliau berkata, SPR mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan itu selama sebulan bermula 1 hingga 30 September ini di tempat yang dinyatakan dalam notis persempadanan untuk tujuan semakan dan bantahan.
“Butiran syor yang dicadangkan dinyatakan dalam notis yang disiarkan melalui warta serta akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post,” katanya.
Nnn
