33 syarikat terima lesen PJH 1448H/2027H

SEPANG 1 Sept.  – Sebanyak 33 syarikat dipilih untuk menerima lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1448H/2027M selepas melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Pemilihan melalui proses penilaian yang mengambil kira pelbagai aspek penting termasuk kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman dan keupayaan syarikat untuk mengurus dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, berkata TH juga melaksanakan semakan bersama beberapa agensi berkaitan.

Ini termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan syarikat yang diberikan kepercayaan ini memenuhi syarat dan mempunyai keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab diamanahkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Lesen PJH Musim Haji 1448H/2027M di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan Arab Saudi amat serius dalam memastikan hanya jemaah haji mempunyai permit sah yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi sahaja dibenarkan mengerjakan haji.

Beliau juga menyeru semua PJH supaya memberikan maklumat jelas, tepat dan telus kepada bakal jemaah, khususnya berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan serta kemudahan lain, bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat lengkap.

Menurut Zulkifli, persaingan dalam kalangan PJH perlu berasaskan peningkatan kualiti perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus yang baik tanpa menjejaskan kepercayaan serta kebajikan jemaah.

Beliau juga mengingatkan PJH agar mematuhi syarat-syarat lesen PJH yang ditetapkan TH, mengemas kini maklumat di Sistem Agensi Haji bagi mengelakkan denda yang boleh menjejaskan pengeluaran lesen di masa hadapan.

Sementara itu, Zulkifli turut menyampaikan Anugerah PJH  bagi mengiktiraf kecemerlangan syarikat PJH, bertujuan menggalakkan peningkatan kualiti dan amalan terbaik dalam perkhidmatan kepada jemaah.

Anugerah emas dirangkul TH Travel & Services Sdn Bhd, diikuti Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd bagi perak dan gangsa diraih Jay Ibrahim Travel&Tours Sdn Bhd.

NNNN

Related posts

Leave a Comment