17 anggota Parlimen Pas sokong PM

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Kesemua 17 Ahli Parlimen Pas, termasuk tujuh anggota eksekutif dalam pentadbiran kerajaan, kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, memaklumkan semua Ahli Parlimen Pas tidak pernah menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Sokong (Perdana Menteri). Bila kami kata tak sokong?” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan 12 anggota Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga menteri Pas menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Beberapa pihak melihat surat itu sebagai menggugat keabsahan kerajaan dan sebagai tanda hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana UMNO, parti yang dianggotai Ismail Sabri, memutuskan supaya PRU15 diadakan tahun ini.

Related posts

Leave a Comment