Ahmad Idham Ketua Penerangan GTA NS

SEREMBAN : Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham, dilantik sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkuat kuasa semalam.

Pelantikan pelakon, pengarah dan penerbit filem, itu diumumkan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim, sewaktu mesyuarat gerakan berkenaan semalam yang berlangsung di Seremban.

“Saya terharu apabila dimaklumkan gerak kerja Hab Pendidikan Khas Dr Ahmad Idham yang saya asaskan dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin dimaklumkan memberi impak di mata masyarakat,” katanya.

Ahmad Idham atau nama sebenarnya Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri,berkata mungkin atas dasar itu menjadi antara faktor yang dinilai kepimpinan tertinggi GTA Negeri Sembilan sebelum mengumumkan pelantikan itu.

Melalui kenyataan di Facebooknya, Ahmad Idham berkata, pelantikan itu bukan untuk dibanggakan, sebaliknya jawatan diberikan adalah amanah dan tanggungjawab yang harus digalas sebaiknya.

“Melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan antara parti politik, sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu,” katanya.

Ahmad Idham berkata, lantikan beliau juga adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin dan beliau tidak perlu menyertai mana-mana parti politik.

“Saya komited untuk terus menyampaikan kepada masyarakat bahawa GTA bukan gabungan retorik parti politik sebaliknya gerakan rakyat untuk rakyat bagi mengangkat pemimpin Melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian,” katanya.

Related posts

Leave a Comment