Liz Truss PM Britain ke-15

LONDON 5 Sept. – Bekas Menteri Luar, Liz Truss dipilih sebagai Perdana Menteri ke-15 Britain menggantikan Boris Johnson selepas memperoleh 81,326 undi mengalahkan bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak, yang mendapat 60,399 undi.

Truss, dalam ucapan ketika pengumuman kemenangannya di sebuah pusat konvensyen di tengah London, menyifatkan “kempen pemilihan umpama ‘temu duga kerja paling lama dalam sejarah’ baginya dan kemenangan itu satu ‘penghormatan’.

“Saya berkempen sebagai Konservatif, dan akan mentadbir sebagai Konservatif,” katanya yang turut berjanji menegakkan dasar parti yang mementingkan tanggungjawab dan cukai yang rendah.

Kemenangan Truss, 47 menjadikannya wanita ketiga sebagai perdana menteri United Kingdom (UK) selepas Theresa May dan Margaret Thatcher.

Truss, secara konsisten mendahului Sunak, 42, sepanjang undian dalam kalangan kira-kira 200,000 ahli Tory (Konservatif) yang layak mengundi.

Pemilihan pemimpin itu bermula Julai lalu selepas Johnson mengumumkan peletakan jawatannya akibat terpalit pelbagai skandal.

Undian pos dan dalam talian ditutup Jumaat lalu, selepas lapan minggu berkempen.

Truss dilantik sebagai Menteri Luar setahun lalu selepas memegang beberapa siri jawatan menteri termasuk di Jabatan Pendidikan, Perdagangan Antarabangsa dan Keadilan.

Beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai ahli remaja parti Liberal Demokrat yang berhaluan tengah sebelum beralih kepada parti Konservatif yang berhaluan kanan.

Pengumuman hari ini, oleh pegawai Parti Konservatif berhubung siapa yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan, turut menggerakkan beberapa rangkaian peristiwa.

Esok, Johnson akan menyampaikan ucapan perpisahannya di Downing Street.

Beliau kemudian akan secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Ratu Elizabeth II dan baginda akan melantik penggantinya dalam upacara yang digelar ‘mencium tangan’.

Buat pertama kali dalam pemerintahannya, Ratu Elizabeth akan melantik perdana menteri di Balmoral, Scotland dan bukannya di Istana Buckingham di London.

Ia berikutan baginda mengalami masalah mobiliti dan terpaksa membatalkan beberapa acara awam.

Related posts

Leave a Comment