MB Perlis tidak direman

KANGAR 30 April – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dibenarkan pulang dan tidak ditahan reman selepas hadir untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini.

Admin Facebook Mohd Shukri melalui satu muat naik tengah hari ini memaklumkan Menteri Besar Perlis itu tidak ditahan.

“MB tidak direman. Telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Perlis itu dilaporkan ditahan di Ibu Pejabat SPRM selepas beliau diminta hadir untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang dilakukan ke atas anak lelakinya.

Sumber berkata, Mohd Shukri dipanggil untuk membantu siasatan kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dalam pentadbiran negeri itu semenjak PN mengambil alih pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 lalu.

Terdahulu, anak Mohd Shukri yang juga menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara enam individu direman SPRM pada Rabu minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini di mana menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

SPRM sebelum ini mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin kanan sebuah negeri di utara kerana disyaki terbabit dengan salah guna kuasa.

Sementara itu Mohd Shukri dalam kemas kini terbaharu berkata, beliau selesai memberi keterangan kepada SPRM dan secara tidak langsung menggambarkan tidak ditahan oleh agensi terbabit.

“Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Insya-Allah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” katanya.

 

Nnn

Related posts

Leave a Comment