Vaksin sektor pembinaan 1 Julai

PELABUHAN KLANG 25 Jun – Program pemberian vaksin bagi sektor pembinaan akan bermula 1 Julai depan yang memfokuskan kawasan tapak pembinaan yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata ia akan dilaksanakan dengan penyelarasan bersama Kementerian Kerja Raya.

Katanya, pemberian vaksin sektor ini tidak akan mengganggu PICK yang sedang berjalan di seluruh negara.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di sini hari ini.

Khairy berkata, program pemberian vaksin akan diperluaskan kepada sektor perladangan yang kini masih di peringkat perbincangan.

Sementara itu lebih 51,000 pekerja sektor pengangkutan membabitkan laut, darat dan udara dijadual menerima vaksin Covid-19 secara berfasa bermula hari ini.

Sebagai permulaan, program itu membabitkan 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan menerusi PPV swasta di bawah kendalian LPK.

Katanya, sebanyak 1,000 petugas sehari dijangka menerima vaksin di PPV berkenaan mengikut kapasiti.

Kos pengurusan dan penyediaan PPV akan ditanggung syarikat pengangkutan manakala LPK bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan.

Related posts

Leave a Comment