Agama bukan bahan jenaka, gurauan

KUALA LUMPUR 29 Julai – Jangan ada mana-mana pihak sesekali memperkecil, menghina dan mempersenda agama, semata-mata atas nama kebebasan bersuara, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, agama bukanlah satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka sebaliknya kesucian agama di negara ini perlu sentiasa dipelihara dan dihormati pada sepanjang masa.

“Beta khuatir, perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang sudah terbina sejak sekian lama,” titah baginda sempena Sambutan Maal Hijrah 1444 hari ini.

Justeru, mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu hijrah, baginda menyeru seluruh rakyat memelihara nikmat dan rahmat sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat ini.

Baginda juga bertitah, sejarah peristiwa hijrah ini perlu dijadikan asas dalam melestarikan semangat perpaduan dan kemakmuran kaum di negara ini.

“Usaha-usaha hendaklah dirangka supaya seluruh rakyat Beta tanpa mengira bangsa dan agama, dapat hidup bersatu padu dan aman serta makmur, bernaung di bawah raja pemerintah yang berdaulat dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan,” titahnya.

Menghayati sirah Rasullullah SAW, baginda bertitah, kesatuan sebuah masyarakat majmuk boleh dicapai dengan menghormati dan memahami kepelbagaian yang sedia ada.

Titah baginda, Rasulullah SAW sudah mengamalkan sifat yang inklusif dengan menerima kepelbagaian yang wujud di kota Madinah ketika itu dan tidak membezakan antara puak, kabilah dan agama.

“Menerusi cara itu, baginda dapat membentuk sikap toleransi dan lebih penting lagi berjaya menyangkal sebarang prasangka negatif terhadap sesuatu kaum mahupun agama.

“Sebenarnya sifat berburuk sangka, iri hati dan sentiasa mencari kesalahan orang lain, adalah sifat tercela yang dimurkai okeh Allah SWT. Sifat ini membawa kesan negatif yang boleh mengaburi prinsip keadilan dan kesaksamaan, sehingga akhirnya meruntuh serta memecahbelah kesatuan ummah dan menghapuskan sejarah tamadun negara,” titah baginda.

Baginda bertitah, tuntutan hijrah pada hari ini bukan hanya bermaksud perpindahan, tetapi ianya membabitkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan kepada moral dan etika.

Justeru, sesuai dengan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu – ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran’, baginda berharap peristiwa hijrah Rasulullah SAW dijadikan panduan untuk membina sebuah negara yang stabil dan gemilang.

Related posts

Leave a Comment