Jadilah lebih kreatif, berinovasi

SHAH ALAM 29 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyeru seluruh umat Islam memperbaharui azam agar menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar.

Titah baginda, umat Islam juga perlu bersedia dalam menghadapi keadaan negara yang dilanda dengan pelbagai ujian seperti wabak penyakit serta bencana alam.

“Ini demi memastikan masyarakat dapat terus menjalani kehidupan seperti biasa dan kebajikan mereka tetap terjaga,” titah baginda dalam perutusan sempena tahun baharu 1444 Hijrah menerusi Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, dengan mengambil semangat dari pertukaran tahun baharu, ini peluang terbaik menanamkan semangat untuk berubah.

Ini juga peluang memperbaiki diri atau keadaan kita kepada yang lebih baik, sama ada sebagai individu, keluarga, jabatan, masyarakat mahupun negara.

“Allah SWT memerintahkan kita berusaha mengubah nasib diri kita sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri’,” titah perutusan itu.

Dalam konteks umat Islam pada masa ini, baginda juga berharap hijrah kali ini dijadikan titik perpindahan untuk meninggalkan segala sifat buruk (mazmumah) dan negatif, kepada sifat terpuji dan positif.

“Berpindah dengan meninggalkan perbuatan yang keji dan maksiat, kepada perbuatan serta amalan yang baik dan soleh.

“Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Muslim itu adalah orang yang menjadikan Muslim yang lain selamat daripada lisan dan tangannya serta al-muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang meninggalkan apa saja yang Allah larang.” (Riwayat Al-Bukhari),” menurut titah perutusan itu.

Pada masa sama, baginda Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Awal Muharram (Maal Hijrah), tahun baharu 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Related posts

Leave a Comment