Separuh anggota MPP ‘pilihan’ Rafizi

SHAH ALAM 17 Julai – Sekurang-kurangnya separuh daripada senarai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pilihan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terpilih dalam pemilihan yang berlangsung semasa Kongres Nasional Keadilan Ke-16 di sini.

Bagaimanapun mendahului undi tertinggi dalam kalangan 20 ahli MPP adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang memperoleh 1,091 undi diikuti calon pilihan Rafizi, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir (956 undi)

Untuk rekod, tiga calon Naib Presiden pilihan Rafizi turut menang sebelum ini iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain Akmal Nasrullah, calon pilihan Rafizi yang menang adalah Ketua Cabang Bangi,  Romli Ishak (878 undi), bekas aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol (817), Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina @ Nor Azrina Surip (797).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung (788), Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (739), selebriti Gerald Hans Isaac (720).

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen (697), Raiyan Abdul Rahim (697), Tan Kar Hing (648), Zahir Hassan (642) dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (594).

Anggota MPP lain adalah Mohd Yahya Mat Sahri (804), Siti Aishah Shaik Ismail (783), David Cheong Kian Young (622), Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian (619), Amidi Abdul Manan (617) dan ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping (598).

Menjelang pemilihan MPP semalam, Rafizi menyenaraikan 26 calon pilihannya (RUJUK berita Rafizi senarai 26 calon pilihan MPP 14 Julai) untuk bersama-sama dalam barisan kepemimpinan PKR dan daripada jumlah itu, 12 berjaya mendapat tempat.

Sebelum ini barisan kepemimpinan utama yang terpilih adalah Anwar Ibrahim sebagai Presiden (menang tanpa bertanding) dan Mohd Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden.

Turut tersenarai sebagai pimpinan PKR bagi sesi 2022-2025 adalah beberapa muka baharu dalam barisan Naib Presiden termasuk dua Menteri Besar, Amiruddin Shari (Selangor) dan Aminuddin Harun (Negeri Sembilan).

Dua lagi Naib Presiden ialah Nik Nazmi dan Chang Lih Kang.

Wanita PKR pula akan diketuai Senator Fadhlina Sidek, dibantu timbalannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Aktivis politik, Adam Adli pula akan menerajui Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi sesi 2022 – 2025 dengan Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai timbalannya.

 

 

 

Related posts

Leave a Comment