Pengawal jumpa RM500,000 terima anugerah

PETALING JAYA 23 Mac – Syarikat A5 Security Service menyampaikan anugerah kepada pengawal keselamatan yang menjumpai beg berisi wang tunai lebih RM500,000 di kawasan letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Rabu lalu.

Sherpa Dawa, 39, warga Nepal itu menerima anugerah daripada majikannya, atas kejujurannya memulangkan wang dalam bagasi berkenaan.

Majlis ringkas itu dikongsi menerusi laman Facebook rasmi syarikat itu di mana Pengarah A5 Security Service, Hardeep Singh Jaswant, berkata syarikat sangat menghargai sikap ditunjukkan Dawa.

“Ia adalah jumlah yang banyak dan syarikat sangat hargai apa yang telah dilakukannya dan kerana itu kami memberi ganjaran kepadanya ini,” katanya.

Manakala Dawa,  berkata dia sudah dilatih syarikat supaya bertanggungjawab dan tidak memikirkan jumlah wang yang dijumpai.

“Saya berpegang kepada tanggungjawab dan amanah yang diberikan syarikat,” kata Dawa.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan berkaitan penemuan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pukul 8 pagi Rabu.

Menurutnya, hasil pengiraan mendapati beg itu berisi wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

Susulan itu, Polis Selangor juga mengesahkan menerima laporan di Shah Alam daripada sebuah syarikat yang mendakwa bagasi adalah milik mereka dan satu siasatan dijalankan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment