Anwar tidak kecil hati teguran Rafizi

SHAH ALAM 17 Julai – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan berkecil hati dengan teguran dan pandangan yang diberikan oleh timbalannya, Rafizi Ramli.

Katanya, beliau meraikan perbezaan pendapat daripada mereka yang mempunyai semangat perjuangan parti dan bukan daripada mereka yang khianat.

“Sebab itu kalau ada singgungan sikit-sikit, sabar sahajalah, sebab orang kuat kerja dan cerdik kadang-kadang memberi pandangan dan singgungan yang memeningkan sikit.

“Tetapi saya sebut kepada Rafizi, saya jamin tidak berkecil hati. Masalahnya kadang-kadang penyokong bebal ramai sebab mereka tidak faham kita dalam perjuangan tebal ini.

“Betul memang ada perbezaan pendapat tetapi ini bukan orang khianat. Ada beza orang keras berpendapat dan berpendirian dalam beberapa isu tetapi bukan khianat, bukan kaki fitnah, perompak dan perasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan dan penangguhan Presiden Kongres Nasional Keadilan ke-16 di sini.

Anwar dengan berlapang dada menyifatkan ucapan Rafizi mengubati kerunsingan beliau selama ini.

“Hari ini empat naib presiden, pemuda dan wanita dan timbalan, Rafizi, memang kontroversial betul. Kadang pening saya.

“Saya bisik di telinga dia awal-awal tadi, ‘aku ni Rafizi, lama dah dengan kamu ni. Janganlah tambah pening aku’. Rupanya dia datang bagi ucapan, dia bagi ‘panadol’. Hilang pening saya. Saya kenal lama (Rafizi) dari kemahiran, kepintaran kerja memang luar biasa,” kata Anwar.

Beliau juga menegaskan akan tetap mempertahankan barisan kepimpinan yang sanggup bekerja dalam satu pasukan.

Related posts

Leave a Comment