BALING 7 Julai – Seramai 534 mangsa banjir di daerah ini, masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 8 pagi ini.
Bilangan itu bagaimanapun menurun berbanding 591 mangsa banjir (123 keluarga), setakat pukul 12 tengah malam tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata seramai 159 mangsa terbabit (50 keluarga) berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dan 200 orang (43 keluarga) di PPS Surau An-Nur, Taman Mesra.
PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah di Kupang menempatkan 130 mangsa banjir (15 keluarga) terdiri daripada kakitangan sekolah berkenaan.
Selain itu, terdapat juga 45 mangsa terdiri daripada 30 pelajar lelaki dan 15 lagi perempuan yang masih berada di sekolah terbabit.
Bencana banjir dan kepala air, Isnin lalu, menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah ini membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.
Sementara itu Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) masih dibuka hingga keadaan kembali stabil dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
PKOB terbabit antara lain menerima panggilan serta merekodkan data diterima daripada mangsa banjir bagi memastikan mereka tidak tercicir dan selamat ketika berada di PPS.
