Sumber air terkumpul jadi punca

BALING 7 Julai – Hasil tinjauan melalui udara mendapati sumber air yang terkumpul terlalu banyak di Gunung Inas dipercayai menjadi punca bencana banjir serta kepala air di daerah ini, Isnin lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tinjauan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, mendapati tiada pecahan takungan air berlaku sebagaimana yang didakwa sebagai penyebab fenomena kepala air berkenaan.

“Buat masa ini, itu adalah kesimpulan yang boleh diberi hasil tinjauan melalui udara di kawasan aliran air di Gunung Inas hingga ke kawasan tanaman Musang King yang dikatakan menjadi punca kejadian berkenaan.

“Hasil pemerhatian mata kasar dari udara, saya mendapati air terkumpul begitu banyak dalam satu masa dan ada berpuluh-puluh lorong terbentuk di Gunung Inas yang mengalir ke bawah di sudut cerun yang sangat curam serta menyebabkan air bergerak begitu laju di Lata Celak dalam tempoh serentak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bencana banjir dan kepala air di Baling kira-kira pukul 4 petang Isnin lalu, mengakibatkan tiga nyawa terkorban termasuk seorang ibu hamil empat bulan, manakala lebih 1,400 penduduk ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.

Seterusnya, Muhammad Sanusi berkata, beliau turut meninjau kawasan bencana dan melihat secara menyeluruh laluan aliran air yang berpunca dari Gunung Inas hingga ke kawasan bencana dan Pekan Kupang.

Beliau berkata, takungan yang dibina di kawasan tanaman Musang King dilihat masih ada, dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam berkenaan juga masih wujud di sana.

“Tiada pecahan, rekahan atau jatuhan tebing berlaku. Menariknya juga, sepanjang aliran air itu, pokok-pokok besar masih ada, iaitu pokok yang tidak ditebang ketika kawasan ini dicerahkan untuk dibangunkan ladang hutan.

“Justeru, kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), ialah aliran air bergerak begitu laju di cerun curam daripada sumber air terlalu banyak dan bercantum menjadi satu di aliran Lata Celak yang mengalir di Sungai Kupang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment