87 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 17 Nov. – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 87 kes baharu Covid-19 dengan empat kluster baharu dikesan melibatkan 30 kes menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 14,378.

Menteri Kesihatan Dr. Md. Isham Jaafar berkata, terdapat 31 tambahan kes kepada tujuh kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Katanya, sebanyak 26 kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan.

Beliau berkata jumlah kluster aktif ketika ini adalah 162 dan tiada yang ditutup hari ini manakala semua kluster baharu melibatkan kluster kediaman termasuk asrama pekerja.

Dr. Md Isham juga memberitahu, sebanyak 73 kes dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan pesakit pulih sebanyak 13,786 kes, di mana jumlah kes aktif pula 494.

”Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation),” katanya.

Satu kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 4,038  sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 570,625.

Related posts

Leave a Comment